Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21) Medium Generasi Muda Menyerlahkan Potensi

Kementerian Pendidikan (KPM) kini mengamalkan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21 atau PAK 21. Kelompok guru 10 teratas untuk PAK 21 ialah guru-guru muda. Ini kerana mereka lahir pada atau selepas tahun 1979 dan membawa maksud mereka sekarang berumur 40 tahun dan ke bawah. Guru-guru muda ini juga dipercayai merupakan kelompok yang lebih mudah menerima dan membuat perubahan kepada amalan pengajaran mereka berbanding guru senior. Kebiasaannya, guru-guru senior mempunyai amalan pengajaran yang stabil dan tidak banyak berubah dalam tempoh panjang. Guru muda juga dipercayai mempunyai semangat yang tinggi untuk membawa pembaharuan kepada pendidikan negara.

Semangat ini dijelmakan dalam amalan PAK 21 yang menekankan PdPc kreatif, inovatif, kolaboratif, komunikatif dan pemikiran kritikal. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa guru-guru muda inilah yang paling boleh diharapkan untuk menjelmakan pembaharuan kepada sistem pendidikan Malaysia. Dengan kudrat masih cergas, semangat masih kental dan otak yang masih cerdas, pada bahu guru mudalah harapan reformasi pendidikan untuk diterjemah kepada tindakan.

Ini tidak bermakna guru-guru senior terpinggir. Mereka sudah lama berada dalam sistem pendidikan dan harus dihormati. Pada hemat penulis, pada era sebegini, guru-guru senior boleh berfungsi sebagai pemberi motivasi dan penguat dorongan kepada guru-guru muda untuk terus istiqamah dalam melaksanakan pembaharuan pendidikan. Guru-guru muda khususnya dan anak-anak muda amnya boleh patah semangat sekiranya usaha-usaha mereka untuk melaksana perubahan tidak mendapat sambutan dan sokongan orang sekeliling.

Menyedari hal ini, adalah penting supaya guru-guru senior dapat berperanan membentuk persekitaran yang kondusif untuk guru-guru muda beraksi penuh dedikasi menjayakan reformasi pendidikan.Justeru, diharapkan agar KPM dapat mengambil langkah tersusun melatih lebih ramai guru muda Malaysia untuk mengamalkan PAK 21 ini. Amalan PAK 21 ternyata berbeza dengan amalan pengajaran era terdahulu yang menekankan peperiksaan dan ujian.

PAK 21 menjurus kepada pembentukan pelajar yang menyeluruh daripada segenap aspek, tidak hanya intelek, tetapi juga rohani, emosi dan jasmani. Tidakkah ini sebenarnya selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan? Oleh yang demikian, penting sekali untuk semua pihak memberi sokongan, dokongan dan dorongan kepada guru-guru muda Malaysia untuk muncul sebagai Peneraju Reformasi Pendidikan. Hakikatnya, kita harus juga kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan jayakan falsafah ini dalam medan perjuangan pendidikan melalui platform PAK 21.

Leave a Reply

Nullam eget felis

Do you want a more direct contact with our team?

Sed blandit libero volutpat sed cras ornare arcu dui. At erat pellentesque adipiscing commodo elit at.