Oleh yang demikian, kerajaan mengambil langkah yang tepat untuk menilai semula keberkesanan pelaksanaan PPPM 2013-2025 pada tahun ini bagi memastikan pelan itu terus kekal relevan selaras dengan perkembangan teknologi yang terlalu pesat. Dengan mengambil kira persekitaran yang dinamik mempengaruhi ekosistem pembelajaran, faktor yang penting adalah untuk memastikan kemenjadian murid–murid yang seimbang ilmu dan akhlaknya selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Tidak dapat dinafikan terdapat suara sinis yang begitu skeptikal dengan usaha kerajaan memartabatkan sistem pendidikan negara. Antara ayat yang sering digunakan termasuk “polisi yang sering berubah” , “pendidikan dipolitik dan dibisneskan” atau “pendidikan masih mencari identiti” dan selalu juga perbandingan dibuat dengan negara maju yang lain. Dalam mencelikkan minda daripada pemikiran yang agak dangkal ini, seperkara yang kita harus faham adalah secara relatifnya, negara kita masih muda berbanding dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, yang mempunyai sistem pendidikan yang lebih ‘baik’.

Negara kita adalah negara yang unik kerana mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, bahasa dan budaya serta adat resam, justeru sistem pendidikan kita perlu mengambil kira kepelbagaian ini dalam menerapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Kementerian perlu mewujudkan suasana sekolah di mana melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan.

Bayangkan kalau sistem pendidikan kita kekal sama – cara mengajar tidak berubah, guru mengajar di hadapan kelas dan murid mendengar, menyalin nota dan menghafal untuk peperiksaan – bolehkah kita menghasilkan murid yang berupaya menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, murid yang mahir berkomunikasi dan seimbang etika dan kerohaniannya? Sistem pendidikan Malaysia hanya dapat memenuhi aspirasinya yang tinggi menerusi sokongan dan komitmen berterusan semua pihak berkepentingan.

Suasana pembelajaran kini sangat berbeza dan memerlukan kerjasama ibu bapa, guru, pentadbir pendidikan, komuniti dan sektor swasta secara menyeluruh demi kemenjadian murid. Tidak kiralah pada masa hadapan murid ini akan menjadi Perdana Menteri atau pekerja kolar biru, mereka perlu dipupuk dengan kemahiran dan nilai yang membolehkan mereka menjadi warga Malaysia yang sejahtera dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Penjajaran sistem pendidikan memerlukan penilaian semula PPPM 2013-2025 untuk melihat sejauh mana keberkesanan pelaksanaannya selama enam tahun ini. Penjajaran ini merupakan peluang bagi mencorak masa depan yang lebih cerah dan gemilang untuk semua kanak-kanak Malaysia; satu cita-cita besar yang penuh berinspirasi. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk berusaha ke arah merealisasikan aspirasi ini, dan hanya dengan kerjasama semua pihak berkepentingan akan membolehkan semua kanak-kanak Malaysia memperoleh masa depan yang benar-benar diingini.