Bagaimana Masa Hadapan Pendidikan Tanpa Sekolah Harian?

Selain daripada kerancakan aktiviti dan usaha membasmi pandemik COVID-19, perbincangan tentang keberkesanan kebiasaan baharu pendidikan yang dialami bersama tetap diteruskan. Antaranya adalah kebaikan dan keburukan amalan kerja di rumah, kelas dalam talian, perniagaan kecil tanpa kedai fizikal, peluang pekerjaan baharu, langkah pemulihan ekonomi yang lebih kreatif dan seterusnya. Dan pastinya kerancakan ini merupakan suatu reaksi bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran pascapandemik ini.

1. Gaya ‘sekolah’ baharu – belajar tanpa ke sekolah

Mahupun sebelum pandemik, terdapat golongan ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah harian dan hanya mendaftarkan anak mereka ke kelas tuisyen sebagai persediaan peperiksaan untuk memberikan ruang kepada anak-anak mendalami bidang lain. Antara lain, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat tahfiz pula kebiasaannya menghabiskan pengajian di tahfiz. Kemudiaannya dihantar ke kelas tuisyen untuk persiapan mengambil SPM tanpa perlu ke sekolah harian. Anak-anak ini sudah didorong ke kelas yang mereka minati seperti kelas muzik, sukan kuda, dan sebagainya seawal usia 16 tahun. Sebelah siang ditumpukan kepada kelas atau kursus dalam bidang yang mereka minati, kemudian pada sebelah malam hanya hadir ke kelas tuisyen berdurasi dua ke tiga jam sahaja.

2. Sekolah harian dan universiti, adakah masih relevan?

Sekiranya sekolah dan universiti tidak mampu memberikan nilai masa depan kepada setiap jam yang dihabiskan dalam kelas dan pada masa yang sama, kemahiran teknikal dan amali boleh didapati dengan lebih efisien dan berkesan melalui kursus-kursus khas. Maka, apa perlunya sekolah harian? Semakin canggih teknologi maklumat, semakin mudah belia atau remaja mendapat akses kepada internet dan ilmu-ilmu praktikal di YouTube atau pelbagai platform pendidikan percuma dalam talian sepertia ArviaClass, semakin kuranglah keperluan untuk menghabiskan enam hingga lapan jam di sekolah. Begitu juga, tidak lagi perlu kepada jam kredit yang bertimbun di institusi pengajian tinggi (IPT).

Soal kos pengajian merupakan isu yang lama dibincangkan. Mungkin pembelajaran berasaskan minat dan kelas berasaskan kursus pilihan sendiri ini boleh menjadi jawapan kepada masalah berbangkit. Daripada belajar dengan dibiayai hutang PTPTN, adalah lebih baik mengambil kursus percuma yang dibiayai oleh pelbagai program yang dikelola oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Daripada membayar kos persekolahan yang meliputi yuran perpustakaan, uniform sekolah, uniform sukan, uniform persatuan, duit kelas, duit persatuan, jamuan kelas, jamuan rumah sukan dan segala macam yuran-yuran kecil di sekolah.

Idea ini rasional. Sekiranya isunya ialah meringankan beban kewangan ibu bapa yang terkesan akibat pandemik ini. Dan sekiranya kita mengakui bahawa karier masa depan yang terkesan daripada kemajuan teknologi (Revolusi Industri ke-4) memerlukan kepada kefahaman dan kemahiran asas data raya, analisis data, pengekodan, reka bentuk aplikasi, reka bentuk laman sesawang dan seterusnya.

3. Nilai semula keberkesanan sekolah-universiti sebagai institusi pendidikan

Justeru itu, pasca-COVID-19 ini sekolah harian dan universiti mungkin akan kehilangan status relevannya. Pun begitu, ini bukan cubaan mencetuskan perubahan radikal dalam sistem pendidikan negara. Tulisan ini hanya menyentuh dua aspek daripada pelbagai aspek pendidikan formal negara; pembangunan sahsiah dan kemahiran praktikal (industri). Tidak boleh dinafikan selera ibu bapa dan belia atau remaja sendiri yang sudah berubah. Akibat tekanan dan persekitaran semasa, ada pilihan lain daripada sekolah harian untuk mendapatkan pendidikan yang holistik.

Sama ada perlu kepada suatu aliran pendidikan khas atau memansuhkan aliran pendidikan yang ketinggalan zaman, Apapun, setakat ini, kita boleh nyatakan secara yakin bahawa tidak ada lagi alasan untuk mana-mana belia atau remaja ketinggalan dalam arus pendidikan. Pilihan untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran kini terbuka luas. Manfaatkan akses teknologi dan peluang-peluang yang ada. Akhirnya, pengetahuan yang diraih itu akan menumbuhkan manfaat yang akan kembali kepada negara.

Leave a Reply

Nullam eget felis

Do you want a more direct contact with our team?

Sed blandit libero volutpat sed cras ornare arcu dui. At erat pellentesque adipiscing commodo elit at.