5 Tips Pembelajaran Atas Talian Yang Berkesan

Sepanjang kehidupan, kita sentiasa mempunyai keinginan untuk meningkatkan kompetensi diri dan menaik taraf kerjaya profesional kita. Contohnya, anda ingin meningkatkan kemahiran Microsoft Excel untuk memberikan khidmat yang terbaik di tempat kerja atau mungkin anda gemar meneroka teknologi baharu dan sentiasa teruja untuk menguasainya. Tidak kira apa pun motivasi anda, kini semuanya boleh dipelajari dengan mengikuti kursus dalam talian. Anda boleh belajar pada bila-bila masa, di mana sahaja menerusi mana-mana peranti sama ada ketika berulang-alik ke tempat kerja malah ketika duduk santai di atas sofa. Apatah lagi sekarang ini kita banyak meluangkan masa di rumah kerana wabak dan langkah pencegahan COVID-19.

Namun begitu, kita sudah terbiasa dengan pembelajaran tradisional yang berasaskan kuliah fizikal dan waktu yang telah ditetapkan. Peralihan medium ini sedikit sebanyak menakutkan sesetengah daripada kita untuk terus menyelami dunia pembelajaran dalam talian. Oleh yang demikian, di sini saya ingin berkongsi lima tips untuk membantu memastikan anda mencapai matlamat pembelajaran dalam talian seterusnya membuktikan bahawa dengan cara yang betul, sesiapa pun boleh melakukannya.

1. Tetapkan matlamat untuk diri sendiri

Apakah hasil yang anda mahukan? Buat matlamat untuk pembelajaran dalam talian anda yang berkaitan dengan sesuatu yang praktikal dalam kehidupan. Sebagai contoh, anda mengikuti sesuatu kursus dalam talian kerana anda ingin meningkatkan promosi produk. Maka, buatlah penilaian prestasi dalam dua bulan setelah mempraktikkan apa yang dipelajari. Usah hanya memikirkan matlamat anda – tuliskan. Kajian oleh Dr. Gail Matthews di Dominican University mendapati bahawa menuliskan matlamat anda menjadikan anda 42% lebih cenderung untuk mencapainya. Sentiasa rujuk matlamat yang ditulis tersebut dan rancang strategi untuk mencapainya.

2. Cari kursus yang sesuai untuk anda

Luangkan masa dalam proses mencari kursus yang sesuai. Gunakan kemudahan carian yang disediakan untuk mencari istilah spesifik yang dikehendaki. Baca mengenai keterangan kursus dan kandungan kursus. Lihat ulasan dan penilaian untuk melihat apa sebenarnya yang disukai atau tidak disukai oleh peserta kursus. Ini dapat membantu memberikan gambaran mengenai butiran kursus yang mungkin tidak dapat dilihat pada halaman keterangan. Sekiranya anda dapat mencari kursus yang sesuai dengan matlamat yang anda tetapkan, anda akan lebih terdorong untuk mengikutinya hingga selesai.

3. Rancang dan urus masa belajar

Setelah memilih kursus anda, penting untuk memikirkan masa anda akan mengambilnya. Pertimbangkan berapa banyak masa yang anda akan luangkan untuk menonton kuliah dan melakukan aktiviti latihan yang disediakan. Cara yang terbaik, mulakan dengan tempoh yang singkat dan tingkatkan durasi belajar dari masa ke masa. Sebagai contoh, mulakan dengan 20 hingga 30 minit, seminggu sekali dan tingkatkan setiap bulan. Sesuaikan perancangan ini dengan matlamat yang telah ditetapkan. Melakukan kerja berskala kecil dengan konsisten dapat membantu kita melihat suatu matlamat besar sebagai lebih mudah untuk dicapai dan mengurangkan kecenderungan kita untuk menunda atau menangguhkannya.

4. Cari rakan belajar

Mengekalkan motivasi diri boleh menjadi sukar, maka disebabkan itulah mencari rakan belajar adalah cara yang boleh digunakan. Ini memastikan bahawa anda mempunyai rakan untuk berkongsi kemajuan anda. Terdapat banyak cara untuk mewujudkan rakan belajar. Anda boleh menjumpai orang lain yang berminat dengan topik yang sama yang ingin atau pun telah mengikuti kursus ini. Pilihan lain adalah mencari seseorang untuk mendaftar masuk bersama dan saling berkongsi apa yang telah dipelajari. Cara ini bermanfaat kerana pembelajaran diperkukuhkan ketika kita mengajarnya kepada orang lain.

5. Selepas belajar? Buat!

Kebiasaanya kursus dalam talian mempunyai aktiviti latihan. Aktiviti latihan memberi anda peluang untuk merenungkan konsep dan mencubanya. Kursus dalam ArviaClass diiringi dengan kuiz, tugasan atau aktiviti praktikal untuk memberikan suasana pembelajaran berterusan. Apabila anda menjadualkan waktu belajar anda seperti yang disarankan pada tips yang ketiga, pastikan anda meluangkan masa untuk menonton kandungan video dan melakukan aktiviti latihan. Sekiranya anda mengikuti kursus untuk membantu anda secara profesional, cari peluang untuk mencuba kemahiran baru anda di tempat kerja. Ini bukan sahaja membuktikan bahawa sepanjang masa dan tenaga yang anda gunakan untuk belajar itu bernilai, malah membantu anda memperkukuhkan apa yang anda pelajari.

Kesimpulannya, meluangkan masa berharga untuk belajar adalah sesuatu yang dapat memberi manfaat dalam semua bidang kehidupan. Dengan sebilangan besar dari kita menghabiskan lebih banyak masa di rumah, kita mempunyai lebih banyak masa untuk belajar kemahiran baru dalam talian. Jika anda berkomitmen untuk menjadikan pembelajaran sebagai rutin dalam hidup anda, ia memerlukan masa dan pengulangan. Sekiranya anda merasa lemah di pertengahan jlan, kembali ke tips pertama: matlamat anda. Saya harap tips yang telah saya gariskan di sini dapat membantu mencapai matlamat anda. Selamat belajar! 😀

Leave a Reply

Nullam eget felis

Do you want a more direct contact with our team?

Sed blandit libero volutpat sed cras ornare arcu dui. At erat pellentesque adipiscing commodo elit at.